Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia
adalah jodoh kita.
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara
dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah
ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang
selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat
mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan
tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak,
dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang Bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu
ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita
sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga
merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa
sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun
malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3.Terima Kita Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin
dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia
juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita
sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia
tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga
sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah
bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa Jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam
agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara
yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila
berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila
dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita.
Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang
disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah
sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi
supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia
dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling
percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi,
kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti
cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang
memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang
panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan
kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh
ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu
pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan
dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga
dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang
melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada
masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini
kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini
menyusahkan?
7. Memahami Diri Kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa
kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur.
Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang
berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi.
Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.
Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah
sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri”. Pepatah ini juga sesuai
bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di
kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi
pasangan hidup kita.
8. Tampilkan Kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia
insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki
kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup
kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan
senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia
bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita
daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat
buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata Hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang
dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga
kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca
fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi
tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi.
Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan.
Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat Istikharah dan
Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya merancang di
pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam
memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak
hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang
Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, Insya-Allah dengan
izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan
sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini
adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya
diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia
ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.